KISAH NABI





Nabi Adam memakan buah larangan

        Nabi Adam ialah manusia pertama yang dicipta oleh Allah. Allah mencipta baginda daripada segumpal tanah dan meniupkan roh ke dalam baginda. Kemudian Allah mencipta Hawa sebagai pasangan.

        Allah memerintahkan semua makhluk agar tunduk kepada Nabi Adam. Namun, iblis enggan berbuat begitu. Iblis berasa kejadiannya drpd api adalah lebih mulia drpd Nabi Adam. Allah memberitahu Nabi Adam bahawa iblis ialah musuh baginda dan baginda harus menjauhinya. Kemudian Allah menyuruh iblis keluar dari Syurga. Iblis bersumpah akan menghasut kaum Nabi Adam agar melanggar suruhan Allah.

         Nabi Adam dan Hawa tinggal bersama di Syurga. Allah berpesan kpd Nabi Adam agar tidak mendekati sejenis pohon di situ. Nabi Adam berjanji tidak akan mendekati pohon itu. Apabila iblis mengetahui tentang larangan Allah itu, iblis pun menghasut Nabi Adam. Nabi Adam terpedaya dengan hasutan iblis dan memungkiri janji baginda. Allah berfirman: "Bukankah kau sudah berjanji agar tidak mendekati pohon itu? Aku sudah memberitahu bahawa iblis itu musuhmu."

        Nabi Adam dan Hawa menyesal kerana memungkiri janji mereka kpd Allah. Mereka memohon keampunan drpd Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun dan Pengasih. Mereka diampunkan dan diturunkan ke dunia. Allah berfirman: "Jadikanlah dunia sebagai tempat berteduh buat sementara waktu." Maka bermulalah kehidupan manusia di dunia.

Pengajaran: Kita haruslah sentiasa mentaati suruhan Allah dan sentiasa meninggalkan larangan-Nya. 


NABI IDRIS DIBERI MARTABAT TINGGI 

          Nabi Idris dikurniakan dengan pelbagai ilmu seperti ilmu matematik dan ilmu astronomi. Baginda juga pandai menulis dengan menggunakan kalam. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih. Allah memberi ilmu-ilmu tersebut kepada Nabi Idris untuk mengajar kaum baginda. 

          Nabi Idris seorang yang sangat jujur dan taat kepada Allah. Allah memberi baginda martabat tinggi dan melantik baginda sebagai Nabi. Baginda ialah orang yg Ke-3 dilantik sebagai Nabi selepas Nabi Adam dan Nabi Seth.

          Nabi Idris ditugaskan untuk menasihat kaum Qabil yg merupakan keturunan anak Adam. Mereka sudah lupa ajaran Allah. Nabi Idris sering menasihati mereka agar kembali ke jalan Allah namun, mereka enggan mengikuti dakwah Nabi Idris. Nabi Idris terus sabar dan terus berdakwah. 

          Setelah beberapa lama, kaum Qabil masih tidak berubah. Akhirnya Nabi Idris berpindah ke Mesir dan memulakan petempatan baru di sana. Nabi Idris mengajar penduduk-penduduk di situ pelbagai perkara. Penduduk di situ bertambah maju dan Mesir mula membangun dengan pesat.

          Nabi Idris sering memberi nasihat kepada penduduk di Mesir antaranya, sentiasa sabar. Baginda juga memberitahu mereka agar sentiasa ikhlas dalam doa mereka kepada Allah.

Pengajaran: Sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih. Allah mengurniakan kita dengan nikmat-Nya untuk menolong kita di dunia. 


NABI IBRAHIM DIBAKAR HIDUP-HIDUP

          Sejak kecil lagi, Nabi Ibrahim tidak memahami mengapa kaum baginda menyembah patung. Patung-patung itu tidak boleh berbuat apa-apa. Mengapa harus patung-patung itu disembah?

          Pada suatu hari, Nabi Ibrahim mengambil kapak dan menghancurkan patung-patung itu. Kemudian baginda menggantungkan kapak itu pada sebuah patung besar. Apabila Raja Namrud mendapati patung-patung itu musnah, dia mengarahkan agar Nabi Ibrahim ditangkap. "Adakah engkau menghancurkan patung-patung yang lain?" tanya Raja Namrud.

           "Tanyalah kepada patung itu. Lihat, ada sebilah kapak di leher patung itu. Sudah tentu patung itulah yang menghancurkan patung-patung yang lain." jawab Nabi Ibrahim. 

          Semua penduduk di situ tertawa mendengar jawapan Nabi Ibrahim. Sudah tentu ia adalah mustahil untuk patung itu berkata-kata. Nabi Ibrahim pun bertanya, "Jika patung itu tidak dapat berbuat apa-apa, mengapa kau menyembah patung itu?"

          Raja Namrud sangat marah dengan kata-kata Nabi Ibrahim dan menyuruh pengawalnya membakar baginda. Namun, Allah Maha Berkuasa dan Dia telah melindungi Nabi Ibrahim. Allah memerintahkan agar api menjadi sejuk. Raja Namrud terkejut apabila melihat Nabi Ibrahim keluar dari unggun api itu. 

          Allah Maha Berkuasa dan Maha Penyayang. Sesungguhnya Dia melindungi orang-orang yang bersama-Nya. Nabi Ibrahim meneruskan dakwahnya dan mengajak orang ramai beriman kepada Allah.

Pengajaran: Allah akan sentiasa menolong orang-orang yang beriman kepada-Nya. 










1 comment:

  1. Merujuk kisah nabi adam tu menunjukkan orang yang memungkiri janji tidak layak tinggal di syurga...

    ReplyDelete