Kem II Pengawas Sekolah dan Exco Asrama di bumi Cameron Highlands ♡



Sengaja aku berbicara bahasa ibunda kali ini.

Sebagai pembuka kisah, aku lampirkan dua mutiara kata yang memikat jiwaku tatkala membaca kedua-dua novel di bawah ini. Daripada melengung memikirkan sesuatu yang sukar untuk difahami, untuk dijangka dan ditangani tanpa ilmu dan pengalaman, baiklah aku membaca. Aku mahu belajar menangani masalah begini daripada pengalaman orang lain. Walaupun novel menceritakan kisah fiksyen, tetapi pengajaran yang disisipkan pasti berguna apabila diaplikasikan dalam menulusuri titian hidup yang diwarnai dengan ranjau dan cubaan.

Teringat satu dialog yang terpampang dalam novel Antara Safa Dan Marwah karya Ismad Astar, "Cik! Penghormatan pada seseorang adalah atas budi dan jasanya. Bos yang buruk budi pekerti bukannya dihormati tapi ditakuti. Dengan sesiapapun ketua itu bergaul, selagi budi dan jasanya disenangi, dia akan tetap dihormati. Bak kata pepatah, ular menyusur akar takkan hilang bisanya."

Satu lagi mutiara kata yang aku petik dari buku Cerita Cinta Ahmad Ammar hasil usaha Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD) yang kekal berada dalam carta buku terlaris mingguan sejak kurang lebih empat bulan yang lalu di Kinokuniya, 'Sayyidul Qawni Khodimuhum' bermaksud pemimpin sesuatu kaum itu ialah hamba (khadam) kepada mereka (iaitu kaum tersebut). Kini, saya memahami untuk menjadi seorang pemimpin, tidak semestinya memerlukan jawatan kekuasaan ataupun sesuatu taraf yang berbeza. Apalagi, jika hanya tahu memberi arahan tetapi tidak tahu membuat kerja dan berkhidmat. Justeru, pemimpin dalam ungkapan tersebut ialah orang yang membantu kaumnya dan berkhidmat.

Baiklah,

Masa: 18 April 2014 - 20 April 2014
Tempat: Kem Sungai Pauh Jabatan Perhutanan Brinchang Cameron Highlands
Peserta: 74 pengawas dan exco asrama serta 5 orang guru pengiring 

Perasaan excited masih disauhkan pada permukaan jiwa dan memori yang semakin galak membentuk riak namun masa sudah pun beredar dan tidak mengizinkan aku kembali ke arus perdana -Kem II Pengawas Sekolah dan Exco Asrama Sekolah. Gah nya tahun 2014 sehingga mampu hinggap di dahan kotak fikiran yang bakal dijadikan suatu pengajaran dan pengalaman yang mengakibatkan perubahan besar dalam perjalanan hidup. Tahun ini, aku akhirnya mengenal keindahan berada di sekolah menengah, erti persahabatan dan perikatan kasih sayang antara satu sama lain serta aksi sebagai pelajar yang matang. 

Kembali ke ruang utama, 

Hari pertama aku bersama sahabat-sahabat yang lain, khemah segak terpacak di tapak perkhemahan lantas dilonggarkan selak khemah dan anak langsir diselak, biar alam terbuka luas. Disilangkan tangan ke dada sambil mendongak ke langit yang biru, mata yang masih bersinar menerawang sejauh mata memandang. Ya Allah! Indah sungguh alam yang dikelilingi dengan kehijauan pokok yang tinggi lampai ditemani dengan deruan air sungai yang datangnya dari air terjun yang terletak nun jauh di posisi belakang khemah. Hatiku tergeletek tatkala melihat kera-kera yang sedang mengamati suasana sekaligus menyambut kehadiran kami semua dengan penuh rasa gembira. Memandangkan hari Sayyidul Ayyam yang mulia merupakan kewajipan bagi kaum lelaki menunaikan solat Jumaat maka, kedatangan mereka turut dirasai apabila seruan pelajar-pelajar menengah atas tidak membisu lagi. Tambahan pula, secara tidak dirancang, pasukan perkhemahan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), warga dewasa dari Kuala Lumpur serta pelancong asing turut sama turun padang bersama-sama pasukan kami dari Sekolah Menengah Kebangsaan Ahmad. 

Ah, sudah terang lagi bersuluh, keamatan suasana sungguh tidak keruh!

Hari Sabtu muncul kembali. Bagiku hari itu merupakan hari kesibukan kami semua dalam menjalani pelbagai aktiviti yang menarik lagi mengasyikkan. Namun setelah disedari, bantal yang disorong juga boleh diajak ke bulan. Tidaklah sesibuk yang aku duga. Aktiviti pertama adalah berjogging sejauh 4.5 kilometer, kata ketua pengawas sekolah, saudara Mohamad Saad bin Mohamad Naim. Aktiviti jungle trekking kian menyusur. Berturut-turut membebankan kaki mendaki kawasan tanah tinggi, bisikku di dalam hati. Pepatah Melayu yang berbunyi terlanjur perahu boleh diundurkan, terlajak kata buruk padahnya, digunakan sebagai panduan. Pada sebelah petang pula, kami melawat ke Kea Farm Cameron Highlands untuk aktiviti explorace. Kerugian jelas terasa apabila kesihatan yang buruk tidak menyokong kegiatan aku petang itu. Mungkin akibat hujan lebat selebat-lebatnya yang menyerang kami semua pada malam Jumaat serta perjalanan jauh yang berliku-liku memualkan aku. Buktinya, satu lagi aktiviti adventurous yang aku ketinggalan iaitu mandi air terjun bersama terlepas lagi. 

Malam Sabtu; malam gilang-gemilang ahli perkhemahan atas dasar BBQ Night. Enak dijamah, keriangan dirasai. Acara penyampaian hadiah yang dikendali merupakan aktiviti terakhir sebelum badan direhatkan di atas permukaan bumi yang dingin tak terkata. Kami dibuaikan lagi dengan alunan suara nyanyian yang didendangkan secara spontan oleh ahli perkhemahan dari UKM bersama beberapa orang sahabatku diiringi lagi dengan petikan gitar agar malam terakhir di sana jelas terpahat di hati. Pandanganku terkunci tetapi fikiran bebas menerawang ke mana-mana. Malah lebih ligat berputar daripada biasa. Menjelajah merentasi ruang dan masa, menelusuri sejarah hidup dari kecil hingga dewasa. Akur dengan perjalanan arus. Aku sedar akan perjalanan kehidupan yang semakin meningkat dengan kematangan yang mendesak. Allahuakbar! 

Kini tibalah hari terakhir kami di sana, persepakatan dibuat bersama untuk menuju ke pasar pagi. Meninjau souvenirs yang bakal dikongsi bersama manusia tersayang di kampung halaman bernama Pekan, Pahang. Enjin bas dihidupkan semula lantas membawa kami ke stesen terakhir di Cameron Highlands iaitu Bharat Tea. Ekoran daripada perkembangan kesihatan aku yang semakin membaik, aku bercadang untuk turun melihat kehijauan ladang teh dan sempat juga aku menyelak dompet bagi membeli beberapa kotak teh berbagai rasa. Satu perkara yang aku sesali dan tertanya-tanya adalah, kenapa tiada satu gambar pun yang dirakam bersama semua ahli perkhemahan dari SMK Ahmad, Pekan? Tetapi soalan itu hanya berupa suara hati, rintihan hati yang tak pernah melepasi ruang atrium mahupun ventrtikel. Walau berapa banyak darah yang dipam keluar daripada jantung, namun soalan tentang gambar kenangan di Cameron terpegun di situ. Terpegun bagaikan digam dengan gam Cap Gajah.

Apa-apa sahaja lah!

Bagi aku, kem kali ini, aku banyak belajar tentang sara diri serta mengamati keindahan hidupan flora dan flora ciptaan Yang Maha Agung, Allah SWT. Ingin aku akui, kepimpinan pengawas tahun ini amatlah aku bangga! Kepimpinan pimpinan saudara Mohamad Saad bin Mohamad Naim bersama saudari Shahirah Afiqah bt Ramli wajar diberi penghormatan yang berkekalan. Mungkin kerana kedewasaan mereka yang memuncak. Perkara terakhir yang terlintas di fikiranku adalah tentang erti persahabatan dan jalinan kasih sayang antara manusia di dunia. Alhamdulillah atas segalanya. 

cinta sejati akan kekal
biar dihakis dek berjuta detik masa









ph & editing by me, Nasrul HazzeemMohamad Saad
Maaf atas kekurangan gambar. Masih mencari menelusuri laman sesawang. Sekian. 

xoxo,
HfshAfndi



No comments:

Post a Comment