Nahdah Jiwa Anak Muda; Di Sebalik Perjalanan Ahmad Ammar



Assalamualaikum respected brothers and sisters, 

Ingin aku lampirkan satu dialog yang terpampang dalam novel Antara Safa dan Marwah karya Ismad Astar, "Habibati, berapa kaya pun seseorang itu semasa di dunia dia kembali hanya dengan sehelai kain kapan. Bagaimana gagah pun seseorang itu semasa di hidupnya, dia akan kembali menghadap Ilahi sebagai jasad yang kaku. Dan betapa mulianya seseorang itu merasakan keturunannya atau pangkatnya, dia tetap kembali ke dalam tanah untuk jadi makanan cacing." "Jadi habibati kita kena hindarkan sifat ujub dan sifat membesar diri. Kalau diikut perasaan yang kita ni hebat, nanti kita jadi takbur. Syaitan dilaknat kerana sifat takburnya, bukan kerana dia tak beriman. Dalam Al-Quran pun ada sebut yang iblis mengakui yang dia takut kepada Allah, Tuhan sekalian Alam." 


Masa: Khamis; 8 Mei 2014 [9:00-11:30 p.m.]
Tempat I: Anjung Ammar Pekan 
Tempat II: Kuliah Al-Lughah Waddin Sultan Abu Bakar Pekan
Tetamu VIP: Tuan Hj. Ahmad Azam Abdul Rahman dan Puan Nur Azlina Aziz 
Bicara: Inspirasi Ammar Ammar; Kebangkitan Jiwa Anak Muda Sempena Sambutan Hari Belia 2014
Anjuran: Kuliah Al-Lughah Waddin, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), waptv



Alhamdulillah Alhamdulillah Alhamdulillah 
Masya Allah La Quwwata Illa Billah 

Perasaan bahagia masih disauhkan pada permukaan jiwa dan memoriku yang masih galak membentuk riak namun masa sudah pun berlalu dan tidak mengizinkan aku kembali ke arus perdana. Sebagai anak muda Islam yang dahagakan contoh tauladan seangkatan dengan usiaku, hal ini merupakan sesuatu yang membahagiakan. Tidak terungkap perasaan seindah itu. Menjelajah merentasi ruang dan masa, terpaksa aku tinggalkan event-of-the-year bersama Yasmin Mogahed di Majlis Observation Of Heart [26 April] dan Ilmfest 2014 [17-18 May] sempena 'Ilmtourtotheeast2014 atas dasar atas rasional yang tidak dapat dielakkan dan menggantikan hal itu kepada event ini.

Baiklah,

Aku kira kalian semua sudah boleh mengagak tajuk pokok yang akan dibicara dan dikongsi bersama. Objektif kali ini adalah:
i- Membina kesedaran terhadap kepentingan pebentukan intelek, rohani dan sahsiah individu terutama dalam kalangan generasi muda.
ii- Menanam sikap cintakan ilmu pengetahuan dan pengalaman adab-adab menuntut ilmu yang berkesan.
iii- Berkongsi tentang solusi terhadap kekangan dan cabaran dalam membentuk generasi yang cemerlang dalam pelbagai bidang.
iv- Merumuskan agenda terbaik untuk melahirkan pemimpin Islam masa hadapan yag akan membawa misi rahmatan lil'alamin.

Sebagai pembuka kisah, 

Allahyarham Ahmad Ammar bin Ahmad Azam, pemuda berusia 20 tahun ini telah menemui penciptanya pada 2 November 2013 bersamaan 1 Muharam 1435 lalu mencetus sebuah fenomena positif yang luar biasa di seluruh negara apabila Allahyarham disemadikan di Perkuburan Eyub Sultan yang menempatkan lebih 60 jasad para sahabat Nabi, Auliya', Panglima Uthmaniyyah dan orang-orang kenamaan Turki. Datuk Bandar telah memberikan pengecualian kepada Ahmad Ammar dan beliau menjadi orang Malaysia pertama disemadikan di sana. Kata Tuan Ahmad Azam, 8 Mei 2014 bersamaan 6 bulan 6 hari Allahyarham menemui cinta yang abadi. Satu-satunya anak lelaki keempat Tuan Haji Ahmad Azam ini merupakan pelajar jurusan Sejarah di Universiti Marmara, Istanbul, Turki. Berbeza dengan pelajar lain, Ammar lebih suka menghabiskan masa selepas peperiksaan dengan menelaah Risalah an-Nur di Madrasah Hayrat dan berbakti kepada ummat. 

Video kenangannya telah ditonton oleh jutaan pelayar Internet selain buku pengkisahannya mendapat sambutan yang sangat menggalakkan selepas diterbitkan. Kelak, keluaran video nasyid dan filem animasi kehidupan Allahyarham akan diterbitkan InsyaAllah, kata Tuan Haji Ahmad Azzam dalam perbicaraan beliau di Anjung Ammar sekaligus merasmikan pelancaran Anjung Ammar yang dikendalikan oleh En. Mohd Afendi Awalludin selaku bapa aku.


Pelbagai perkongsian pengalaman dan tips keibubapaan bersama golongan ibu bapa Allahyarham dengan harapan agar lebih banyak watak Ammar dapat dihidupkan di dalam hati anak-anak muda pada masa kini.Video pertama yang disajikan juga sudah cukup memilukan hati aku tatkala berasa terlalu dekat dengan semua ini. Sebak. Bak kata aforisme, Tak cukup tapak tangan, nyiru aku tadahkan. Tak cukup kasih, cinta aku sajikan. Keindahan bahasa yang tersusun rapi oleh Puan Azlina serta Tuan Haji Ahmad Azzam sudah cukup menggambarkan bak kesempurnaan seorang pemuda yang dilahirkan untuk menghidupkan iman anak-anak muda sekaligus meneruskan perjuangan Sultan Mehmet Al-Fateh. 

Sepanjang perbicaraan bersama tetamu VIP malam itu, aku tidak menoleh dan memberikan sebarang reaksi namun perasaan bercampur baur membentuk keinsafan dan inspirasi yang tidak terhakis dek berjuta detik masa. Aku akui, sungguh rugi manusia yang menolak peluang keemasan yang sudah terang lagi bersuluh, isi perbicaraan yang disampaikan tidak mampu aku kesali. 

Banyak kali menelan air liur. Kecintaan yang mendalam terhadap ilmu Islam yang perlu diterokai memilukan hati sejenak menyedari kekerdilan diri serta perjuangan ummatik yang semakin terhakis. Apakah ini yang ingin disampaikan kepada Tuhan saat menghadapNya kelak? Lalu apa jawapan tentang perjuangan diri sendiri di muka bumi yang nyata lebih mengasyikkan jika tidak beriman? Ingin lagi aku petik mutiara kata yang diungkapkan oleh Allahyarham Ahmad Ammar, 

"Dunia ini untuk berjuang
dan untuk penat
Kita rehatlah bila mati nanti
di Syurga-Nya"

Atas segalanya, aku bersyukur masih mempunyai tulang belakang yang kukuh yakni dorongan ibu bapa dalam membentuk akhlak dan menegakkan perjuangan Islam berbanding mengagungkan akademik yang mana telah diketahui oleh semua manusia, falsafah hidup sebenarnya adalah 'seandainya kita perlu membelanjakan seluruh isi dunia untuk menyelamatkan iman anak muda rakyat, kami sanggup mempertaruhkannya.' Cukuplah jari-jemariku menari namun begitu, masih aku kira tidak mampu memperlihatkan kebahagiaan dan kesyukuran yang amatlah mendalam. Semoga pengajaran yang disisipkan pasti berguna apabila diaplikasikan dalam menulusuri titian hidup yang diwarnai dengan ranjau dan cubaan. 

Ah, ini malam super indah!














xoxo,
HfshAfndi
Jadilah Insan Ummatik



No comments:

Post a Comment